~ Utusan Melayu ~
ARKIB : 02/06/2008
MCS unjur jualan naik dua digit
KUALA LUMPUR 1 Jun - MIST Cooling Systems Sdn. Bhd. (MCS) mengunjurkan pertumbuhan jualan meningkat dua kali ganda dalam tempoh dua tahun menerusi pengeksportan dan pembukaan syarikat baru di luar negara.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Janson Ang berkata, unjuran itu mampu dicapai berikutan permintaan tinggi bagi produk-produknya di pasaran luar negara.
''Kami bercadang untuk meluaskan pasaran eksport ke negara-negara Asia Barat seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sudan, Bahrain dan Qatar dan pada masa yang sama memonopoli pasaran tempatan.
''Dengan menembusi pasaran baru dan berpotensi serta menerusi perniagaan sedia ada, kami yakin mencapai jualan sebanyak RM2.8 juta pada tahun ini berbanding RM2.3 juta pada tahun lalu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
MCS yang diasaskan pada 1999 adalah pengendali sistem penyejukan termasuk pam tekanan tinggi, kipas penyejuk semburan, paip tekanan tinggi, kabel elektrik dan papan kawalan.
Selain itu, syarikat turut menawarkan rangkaian produk penyejukan yang luas seperti 'blower', penyejuk penyejatan, kipas industri, pengalih udara, kipas ekzos dan sebagainya untuk pasaran tempatan dan asing di bawah jenama Misty Cool.
Jenama tersebut mempunyai pasaran di Afrika Selatan, Hong Kong, Thailand, India, Singapura, Filipina, Brunei, Vietnam dan Australia juga merupakan satu-satunya penyewa kipas di negara ini dengan menyediakan lebih 270 kipas.
Menurut Janson, pihaknya telah merancang untuk mengembangkan perniagaan dengan membuka sebuah syarikat di Pakistan menjelang 2009.
''Kami menjangka pasaran di Pakistan akan dapat menyumbang 25 peratus kepada pendapatan eksport kita," katanya.
Tambahnya, MCS telah melabur sejumlah wang untuk menghasilkan penghawa dingin di bawah jenama Misty Cool yang bakal dilancarkan pada Oktober ini.
''Kami selalu cuba memperkenalkan produk baru yang inovatif supaya selaras dengan keperluan masyarakat sekarang. Kami memahami kesedaran pengguna yang lebih mementingkan produk yang lebih sihat.
''Selain itu, kami juga merupakan syarikat pertama di dunia memperkenalkan penapis yang diperbuat daripada karbon yang diaktifkan daripada perak nano iaitu lebih mesra alam," ujarnya.
Jelas beliau, teknologi dari Korea Selatan itu membantu menyingkirkan bakteria, fungus dan alga dalam air yang digunakan dalam produk penyejukan manakala karbon aktif mengurangkan tahap klorin dan bau.
''Kami akan membuka cawangan baru di Pulau Pinang dalam masa dua bulan lagi dan kami masih dalam perbincangan untuk membuka sebuah lagi di Melaka," katanya.
Kini, MCS memiliki tiga cawangan yang beroperasi sebagai pejabat jualan di Rawang, Selayang dan Damansara.
Ditanya mengenai persaingan daripada pasaran negara China yang menawarkan produk lebih murah, beliau mengakui memang terdapat cabaran dari aspek penetapan harga kerana teknologi yang digunakan dalam produknya diimport dari luar negara misalnya, kipas dari Jepun, pam (Itali) dan muncung kipas (Amerika Syarikat) walaupun dihasilkan secara tempatan.
''Namun, masih terdapat pengguna yang mementingkan kualiti produk dan kami merupakan perintis dalam sektor ini, oleh itu kami tidak berasa tergugat," kata beliau.
[ Back ] |